BN Perak tunggu arahan kerah jentera ke Melaka

Iklan
Saarani

IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak belum menerima sebarang arahan untuk menghantar jentera membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebarang keputusan untuk turun padang membantu bergantung kepada penetapan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Iklan
Iklan

Jelas beliau, pihaknya mungkin akan mempertimbangkan kempen dengan kaedah lain seperti melalui platform digital jika tidak dibenarkan turun berkempen secara fizikal.

"Kita belum terima apa-apa arahan lagi sebab kita tidak tahu prosedur operasi standard (SOP) SPR.

Iklan

"Dengar kata, orang luar Melaka tak boleh pergi, jadi buat apa nak pergi. (Mungkin) kempen dalam telefon sahajalah," katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Mesra Usahawan Perak di Miker Pizza, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, SPR menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Iklan

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat wakil rakyat termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ini merupakan kali pertama sebuah negeri di Semenanjung Malaysia mengadakan PRN secara berasingan dan bukan pada Pilihan Raya Umum (PRU).