KOTA BHARU - Parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan hari ini perlu ada kesepakatan serta gabungan mantap bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
"Contoh terdekat adalah enam daripada 15 kerusi yang dimenangi oleh PH dalam PRU14 lalu yang sebenarnya kalah oleh gabungan undi jika digabungkan undi BN dan Pas.
"Walaupun senario politik berubah sejak PRU14, namun strategi kekuatan gabungan dan muafakat adalah perkara tunjang dalam menentukan kemenangan.
"Tiada lagi istilah Abang Besar dalam politik. Oleh itu, konsep kesamarataan dan muafakat antara parti-parti politik perlu difahami. Ego perlu dilandaikan demi rakyat. Jika tidak, rakyat akan dihukum sekali lagi dengan lebih perit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, DPIM juga berharap PRN Melaka dapat menyuburkan proses demokrasi negara supaya rakyat dapat menyuarakan keluh kesah dan denyut nadi mereka.
Selain itu, beliau berharap PRN ini tidak akan mencemarkan sistem demokrasi negara seterusnya menghina rakyat dengan situasi 'katak melompat-lompat' seperti keadaan politik hari ini.
"Kita berharap semua parti politik tanpa mengira kecenderungan kepada kerajaan atau di pihak pembangkang, perlu mendahulukan rakyat.
"Pada masa yang sama, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan menghindari diri daripada menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati parti lain.
"Keadaan mencemuh dan menunding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan politik, walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman warga emas. Rakyat terutama pengundi baharu bakal menghukum pemimpin sebegini," katanya.