KUALA LUMPUR - Sistem persaraan Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dan ke-23 di peringkat global walaupun terdapat sedikit penurunan dalam nilai indeks keseluruhan negara daripada 60.1 pada 2020 kepada 59.6 pada 2021, menurut Indeks Persaraan Global Mercer CFA Institute (MCGPI) Tahunan Ke-13.
Kajian terhadap 43 sistem pendapatan persaraan di seluruh dunia, yang mengukur setiap sistem persaraan melalui tiga sub-indeks wajaran (kecukupan, kemampanan dan integriti) merangkumi empat sistem baharu - Iceland, Taiwan, UAE dan Uruguay.
Daripada tiga sub-indeks yang diukur dalam Indeks Persaraan Global 2021, Malaysia menyaksikan peningkatan dalam skor kecukupan kepada 50.6 pada tahun ini. Negara mencatatkan skor tertinggi untuk integriti (76.8), diikuti kemampanan (57.5) dan kecukupan, katanya.
Malaysia berada di tempat ke-15 untuk sub-indeks kemampanan, yang mengukur kemungkinan keupayaan sistem untuk memberikan manfaat pada masa depan; di kedudukan ke-20 untuk integriti, apabila faktor yang mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap sistem persaraan diambil kira; dan ke-34 untuk kecukupan, yang mempertimbangkan bagaimana sistem negara dirangka untuk memberikan faedah persaraan yang mencukupi, menurut kenyataan mengenai kajian itu pada Selasa.
Janet Li, Ketua Perniagaan Kekayaan bagi Asia Mercer, berkata:"Ia begitu membanggakan apabila Malaysia terus mencapai skor yang melebihi purata Asia dalam setiap tiga sub-indeks. Berdasarkan jangka hayat yang terus meningkat, kerajaan boleh mengkaji cara untuk meningkatkan tahap sokongan minimum untuk golongan pesara termiskin dan kadar penyertaan tenaga kerja, terutamanya pada usia yang lebih tua.”
"Jika Malaysia juga dapat meningkatkan paras simpanan isi rumah dan menurunkan paras hutang isi rumah, itu akan membantu meningkatkan skor kecukupan dan kemampanan dan akhirnya nilai indeks keseluruhan untuk sistem persaraannya.”
Bagaimanapun, Justin Ong, Presiden CFA Society Malaysia, berkata:"Pandemik Covid-19 telah menjadikan keadaan lebih sukar untuk rakyat Malaysia bersara dengan tenang. Ia adalah trend global, apabila kadar faedah rendah dan jangka hayat meningkat telah memberikan tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada sistem persaraan awam dan swasta di seluruh dunia. Di Malaysia, isu ini terus dijejaskan oleh literasi kewangan yang tidak mencukupi dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Malaysia daripada penarafan C+ kepada gred C pada tahun ini, bermaksud sistem persaraan mempunyai beberapa ciri yang baik, tetapi juga risiko yang besar atau kekurangan yang perlu ditangani. Sistem Malaysia mencapai gred yang sama dengan beberapa negara Asia lain seperti China, Indonesia dan Taiwan.
Indeks Persaraan Global 2021 turut mendapati sistem persaraan Asia terus ketinggalan daripada sistem dunia. Purata nilai indeks keseluruhan Asia sebanyak 52.2 berbanding purata global pada 61.
Di peringkat global, sistem pendapatan persaraan Iceland (84.2) telah diumumkan sebagai yang terbaik di dunia, diikuti Belanda (83.5) dan Denmark (82).
Bagi setiap sub-indeks, sistem dengan nilai tertinggi ialah Iceland untuk kecukupan (82.7) dan kemampanan (84.6) serta Finland untuk integriti (93.1). Sistem dengan nilai terendah dalam sub-indeks ialah India untuk kecukupan (33.5), Itali untuk kemampanan (21.3) dan Filipina untuk integriti (35.0).
Indeks Persaraan Global adalah projek penyelidikan kerjasama yang ditaja oleh CFA Institute, persatuan profesional pelaburan global, bekerjasama dengan Monash Centre for Financial Studies, sebahagian daripada Monash Business School di Monash University, dan Mercer, peneraju global dalam mentakrifkan semula dunia pekerjaan dan membentuk semula hasil persaraan dan pelaburan. -Bernama