PUTRAJAYA - Penduduk Orang Asli kaum Temiar di Kampung Tasik Asal Cunex Gerik, Perak mendakwa diugut dengan senapang agar membuka halangan di kampung berkenaan Ahad lalu.
Halangan itu dibina komuniti Orang Asli di situ bagi menghalang kegiatan pembalakkan di kawasan tanah adat mereka.
Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu Air Denkal, Pam Yeek berkata, semasa kejadian, 11 orang termasuk wakil syarikat pembalakan datang ke perkampungan mereka.
Menurutnya, ini kali pertama mereka datang dengan membawa senjata senapang dan menggunakan nada suara tinggi semasa mengarahkan Orang Asli membuka halangan yang dibina.
"Keadaan itu menyebabkan penduduk kampung takut terutamanya wanita dan kanak-kanak. Pada awalnya kami anggap pihak berkuasa datang ke sini berikutan laporan polis yang kami buat sehari sebelumnya (Sabtu) tapi yang berlaku adalah sebaliknya.
"Kami diugut, namun penduduk kampung bersepakat tidak membuka halangan tersebut walau apa keadaan sekalipun," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.
Pam berkata, pihak berkuasa pernah datang Januari lalu namun, kali ini tindakannya lebih kasar.
"Malah wakil syarikat pembalakan itu juga memberi pilihan kepada kami sama ada mahu wang atau tanah. Itu saya faham perkara itu sebagai satu tindakan untuk memberi rasuah kepada kami dan hari ini kami rujuknya di SPRM," katanya.
Pam menambah, dia telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor kelmarin.
"Kami juga ada membuat laporan di Bahagian Integriti Bukit Aman bagi menyiasat perkara yang berlaku.
"Hari ini ke SPRM dan meskipun diugut, saya dan rakan-rakan akan terus mempertahankan kampung yang menjadi tempat tinggal kami sejak zaman nenek moyang lagi.
"Dalam masa terdekat, kami juga akan memfailkan kes ini ke mahkamah," katanya lagi.
Sinar Siasat pada 25 Februari lalu melaporkan, tentang pembalakan di kawasan seluas 80 hektar dalam kawasan Tanah Adat Orang Asli di Hutan Simpan Air Chepan Hulu Perak.
Akibat pembalakan itu selain menjejaskan sumber pendapatan orang asal, juga menyebabkan pencemaran sungai di dua kawasan tadahan iaitu Kampung Saruk dan Kampung Urat.