PUTRAJAYA - Kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara namun individu berkenaan tertakluk kepada terma, syarat dan perundangan di negara berkenaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Dalam kenyataan pada Selasa Saravanan menjelaskan, kekeliruan mengenai dakwaan sekatan kepada rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara ekoran isu skim pekerja sektor perladangan di Australia yang dibangkitkan di Dewan Negara, baru-baru ini.
Pada 11 Oktober lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dalam sesi jawapan lisan di Dewan Negara memberitahu, Malaysia memutuskan tidak akan mengguna pakai pendekatan Australia berhubung Skim Visa Buruh Ladang dalam sektor pertanian kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai penduduk tetap.
Saravanan dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan, senario di Australia dan Malaysia agak mirip iaitu ramai pekerja tempatan tidak berminat menceburi sektor perladangan yang rata-ratanya melibatkan kerja 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar (Dangerous, Dirty and Difficult).
Dalam hal demikian, menurutnya kerajaan Australia memperkenalkan visa perladangan bagi menangani kekurangan pekerja sektor perladangan di negara berkenaan.
"Bagaimanapun, pendekatan yang diguna pakai oleh Australia tidak akan diikuti oleh Malaysia kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai status penduduk tetap. Oleh itu, hal ini tiada kaitan sama sekali dengan sekatan untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara termasuk Australia," kata Saravanan.
Menurutnya, terdapat rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara untuk mencari rezeki termasuk di negara jiran terdekat seperti Singapura dan dianggarkan seramai 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura.
Saravanan berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee pada 7 September lepas berhubung visa perladangan di Australia ekoran masalah sama yang dihadapi kedua-dua negara iaitu kekurangan guna tenaga dalam sektor perladangan, selain kebergantungan yang tinggi terhadap guna tenaga asing dalam sektor berkenaan.
Skim visa perladangan Australia memberi peluang pekerjaan kepada pekerja imigran untuk bekerja selama tiga tahun dalam sektor perladangan dan pertanian di negara itu bagi menangani kekurangan pekerja di kedua-kedua sektor berkenaan kerana kurang mendapat sambutan daripada pekerja tempatan. -Bernama