Wujud institusi pantau bantuan tidak sampai kepada golongan sasar

Iklan
Aminuddin menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi ke 299 yang bertajuk 'Dari T20 Ke M40: Apa Kesudahannya?' pada Selasa.

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan satu institusi bagi memantau dan melihat peruntukan kerajaan secara terus kepada bumiputera.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya berkata, ia kerana insentif bantuan yang diberikan tidak sampai kepada golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, institusi kewangan sedia ada juga mempunyai birokrasi dan prosedur dokumentasi yang ketat.

"Kita tahu masalah bumiputera, masalah dokumentasi dan birokrasi antara dilema yang dihadapi oleh pihak institusi perbankan serta usahawan.

Iklan

"Jadi bagi saya perkara ini harus dilihat dan dipantau serta perlu ada satu kerjasama antara pihak kerajaan dan juga usahawan untuk dibawa berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke 299 yang bertajuk 'Dari T20 Ke M40: Apa Kesudahannya?' pada Selasa.

Iklan

Turut menjadi panelis Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan Pengarah Urusan Mak Cun Jutawan Sdn Bhd, Erma Fatima manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Dalam pada itu, Aminuddin Yahya berkata, kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) perlu ditekankan oleh kerajaan untuk membantu usahawan bumiputera.

Menurutnya, perkara tersebut tidak dapat dinafikan apabila negara berada dalam sistem kapitalis yang masih menekan orang miskin.

"Walaupun kita ada bank Islam atau bank bercorakkan Islam tetapi kita masih katakan dalam kepompong kapitalis yang mana akhirnya hanya orang yang ada duit, berkhidmat untuk pihak bank akan ‘survive’.

"Tetapi bagi mereka yang ada masalah sedikit, bank tidak akan berkompromi, lambat dua bulan akan hantar surat bankrap.

"Konsep sistem kapitalis ini dan ekonomi yang sebegini sebenarnya tidak membantu usahawan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen BMF telah membantu ramai usahawan bumiputera sejak ia dilancarkan.

"Sebab itu kita memperkenalkan BMF, dan Alhamdulillah walaupun BMF tergugat seketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi apabila kita lancarkan dulu, puluhan usahawan yang saya jumpa mereka merasa begitu teruja dengan sistem ini.

"Ada antara mereka yang mengatakan perniagaan mereka meningkat tiga kali ganda. Maka rantaian BMF ini perlu sokongan kerajaan yang menjado antara agenda yang boleh menyelesaikan ekonomi orang Melayu,” katanya.

Jelas Aminuddin, pemangkin kepada penjanaan ekonomi tertakluk sepenuhnya kepada kerajaan manakala usahawan sebagai pelaksana.