Penjana, KPT-CAP bantu siswazah UPSI penuhi kehendak industri

Iklan
Siswazah yang menyertai program Penjana KPT-CAP yang julung kali diadakan di UPSI di sini, bakal memenuhi kriteria yang dikehendaki industri.

TANJONG MALIM - Siswazah yang menyertai program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) yang julung kali diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, bakal memenuhi kriteria yang dikehendaki industri.

Pengarah Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPSI, Dr Sharul Effendy Janudin berkata, program yang bermula semalam hingga 29 Oktober dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan The Ship Campus itu adalah bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran siswazah yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Penempatan pekerjaan yang terjamin dan latihan disusun bagi memenuhi kehendak syarikat tersebut iaitu peserta akan diberi latihan bagi melahirkan pekerja yang kompeten dan berketerampilan.

"Bagi yang mengikuti program ini, syarikat mesti menawarkan pekerjaan kerana projek ini adalah kategori ditempatkan dan dilatih yakni kita telah membuat perjanjian dengan syarikat terlibat semasa permohonan dilakukan dan mesti disokong dengan LOC (surat komitmen)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Sharul Effendy berkata, UPSI telah menerima dana sebanyak RM79,000 daripada KPT dan berharap 15 siswazah yang menyertai program ini dapat membuktikan bahawa mereka memenuhi kehendak industri sekali gus menambah ilmu sedia ada.

"Ini adalah hasil inisiatif Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI menerusi Program MyFuture Media Specialist,” katanya.

Iklan

Sebelum ini dilaporkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyasarkan seramai 20,000 siswazah dijangka menerima manfaat melalui program Penjana KPT-CAP tersebut. - Bernama