TUMPAT - Umpil jeriji dan tendang pintu kayu menunjukkan tindakan berani pencuri membuat onar di siang hari apabila pecah masuk rumah seorang peniaga di Taman Murni, Kota Kubang Labu, petang semalam.
Kejadian itu disedari Zaharin Abu bakar, 39, selepas pulang dari kedai perabotnya jam 6.30 petang apabila rumahnya berselerak dan pintu tengahnya terbuka.
Zaharin berkata, dia meninggalkan rumahnya hanya empat jam untuk ke kedai perabotnya pada jam 2.30 petang.
"Tak sangka dalam tempoh itu pencuri terbabit berani pecah masuk rumah kami.
"Habis bilik tidur, ruang tamu diselongkarnya," katanya.
Menurutnya, dia kerugian RM20,000 apabila lima buah telefon, komputer riba, dua tablet, barang kemas dan wang tunai serta duit syiling dalam tabung lesap.
Katanya, mujurlah lima komputer pelanggannya yang sedang dibaiki di rumah tidak dikebas oleh pencuri tersebut.
"Minggu ini isteri saya lambat pulang dari mengajar kerana ada latihan kokurikulum di sekolah.
"Rumah ini kosong sebelah petang tetapi rumah jiran berdekatan manakala rumah ibu saya hanya jaraknya 10 meter," katanya baru menetap di rumah ini, tiga minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.