PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah terus memahat nama dalam sejarah The Reds apabila menjadi pemain berstatus penjaring terbanyak kelab dalam saingan Liga Juara-Juara ketika membantu kelabnya mengatasi Atletico Madrid, 3-2 di Estadio Wanda Metropolitano.
Dua gol penyudah itu menyaksikan Salah meledak 31 gol mengatasi rekod dimiliki bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard yang menjaringkan 30 gol semasa menyarung jersi The Reds sebelum ini.
Pada aksi di Madrid itu, Salah terlebih dahulu meletakan pasukannya di depan menerusi gol minit ke lapan sebelum ledakan padu Naby Keïta melebarkan kedudukan pelawat kendalian Jürgen Klopp pada minit ke-13.
Biarpun begitu anak buah Diego Simeone kembali semula bersaing apabila penyerang Perancis, Antoine Griezmann tampil merobek gawang pelawat menerusi dua gol pada minit ke-20 dan 34 untuk Colchoneros.
Namun begitu, Atletico Madrid terpaksa beraksi 10 pemain setelah Griezmann dilayangkan kad merah pada minit ke-52, selepas mengasari Firmino.
Liverpool kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas Mario Hermoso mengasari Diogo Jota yang tidak dipersia-siakan Salah untuk kembali mendahului 3-2.
Dua gol peribadi Salah di Madrid itu juga menyaksikan dia mencipta kelas tersendiri bersama Liverpool apabila meledak gol dalam sembilan perlawanan pelbagai pertandingan.
Keputusan di laman lawan itu menyaksikan Liverpool kini mendahului kumpulan B dengan sembilan mata diikuti rapat Atletico Madrid (empat mata) selepas masing-masing mengharungi tiga perlawanan.