BENTONG - Seorang anggota polis maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas dan terjatuh di laluan bertentangan, sebelum dia dilanggar sebuah bas di Kilometer 16, Jalan Bentong-Raub di sini pada Selasa.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Arisham Azahari, 37, yang bertugas di Balai Polis Dong, Raub disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Bentong.
Ketika tiba di tempat kejadian, katanya, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan yang sesak dan melanggar sebuah motosikal lain di hadapan.
"Mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana pihak yang mempunyai makkumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.