PENGENDALI Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino menegaskan pasukan boleh terus mengharapkan kelibat Lionel Messi dan Kylian Mbappe selepas kedua-dua pemain itu cemerlang ketika menewaskan RB Leipzig 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes pada awal pagi Rabu.
Menurutnya, aksi kedua-dua pemain tersebut juga sudah meningkat dan memberikan impak positif kepada jentera serangan pasukan gergasi Perancis itu.
"Ia mengambil masa kerana pasukan kami dalam pembikinan. Kami ada penguasaan bola tetapi kami mahu ia lebih diberikan perhatian dalam padang. Saya juga melihat banyak perkara positif di jentera serangan.
"Messi dan Mbappe? Ia sukar untuk mencari penyelesaian bersama, tetapi di sinilah kami akan mengharapkan pemain seperti mereka," katanya.
Dalam perlawanan itu, Mbappe membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan sebelum Leipzig mendahului menerusi dua gol jaringan Andre Silva pada minit ke-28 dan Nordi Mukiele pada minit ke-57.
Messi tampil sebagai wira buat PSG apabila meledak dua gol pada minit ke-67 dan penalti pada minit ke-74.
Ia sekali gus menjadikan pemain kelahiran Argentina itu pemain keempat untuk menjaringkan gol dalam dua penampilan pertama di Liga Juara-Juara bersama PSG selepas Neymar pada 2017, Alex (2012) dan George Weah pada 1994.
"Kualiti Mbappe sangat baik ketika bermain transisi. Namun, apabila anda ada Messi, dengan ketepatan hantarannya selain Achraf Hakimi dan Nuno Mendes di jentera serangan, pasukan anda akan menjadi sangat bagus.
"Namun, sudah tentu ada perkara yang perlu kami tambah baik dan sebab itu saya gelarkan pasukan ini dalam pembikinan," katanya.