Tular surat aduan Shahidan langgar disiplin parti

Iklan
Surat yang tular pada Rabu mengenai aduan pelanggaran disiplin parti oleh Shahidan.

SHAH ALAM - Sepucuk surat mengenai aduan pelanggaran disiplin parti oleh Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Arau, tular pada Rabu.

Dalam surat itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menggesa tindakan dan pengajaran tegas diambil terhadap Shahidan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Shahidan sewajarnya dikenakan tindakan disiplin kerana telah mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan.

"Beliau telah membuat ucapan yang jelas bertentangan dengan keputusan parti semasa majlis tersebut.

Iklan

"Selain itu, beliau juga mengibarkan bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian,” katanya melalui surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 18 Oktober 2021.

Syed Atif berkata, aduan secara asasnya dibuat bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan ahli-ahli pimpinan pelbagai peringkat khususnya di bahagian Arau dan negeri Perlis.

Iklan

"Demi menjaga nama baik dan maruah parti serta mengelakkan masalah perpecahan yang serius pada masa hadapan, diharapkan aduan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar tindakan dan pengajaran yang tegas tanpa memilih bulu dapat diambil,” tegasnya.

Sementara itu, Sinar Harian sudah menghubungi Ahmad Maslan berhubung isu tersebut, namun masih belum menerima sebarang pengesahan.