Maritim rampas dadah RM1.33 juta

Iklan
Nurul Hizam (tengah) menunjukkan bungkusan dadah pelbagai jenis ditemui di sebuah togok di perairan Parit Jawa, Muar pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat pada Rabu.

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menemukan 23 kilogram dadah bernilai hampir RM1.33 juta yang disembunyikan di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan atau togok di perairan Muar, dekat sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bekalan dadah tersebut dikesan ketika anggotanya mengadakan rondaan di perairan berkenaan pada jam 5.30 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semasa rondaan rutin dijalankan, pihaknya mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di atas kayu perangkap ikan atau togok.

"Objek berkenaan ditemui pada jarak kira-kira 3 batu nautika barat daya Parit Jawa dan 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.

Iklan

"Mengesyaki objek tersebut adalah berkaitan dengan maklumat risikan, anggota bot merapat ke togok untuk melakukan pemeriksaan," katanya dalam sidang akhbar media di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di sini pada Rabu.

Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan kemudiannya menemui 23 bungkusan teh Cina berwarna hijau dipercayai syabu, pil ekstasi dan Erimin 5.

Iklan

Menerusi tinjauan di kawasan sekitar katanya, pihak maritim tidak menemukan sebarang petunjuk lain mahupun suspek.

"Kami percaya, dadah ini sengaja ditinggalkan di atas togok sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga bagi tujuan penghantaran ke destinasi.

"Taktik ini agak baharu digunakan kerana ini kali kedua kami menemui dadah dengan cara sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan keselamatan di perairan termasuk rondaan dengan lebih kerap di lokasi-lokasi yang dirasakan menjadi sasaran sindiket.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan sama, Nurul Hizam memberitahu, sebanyak RM7.9 juta nilai keseluruhan dadah berjaya dirampas Maritim tahun ini membabitkan dua lokasi di Johor Bahru dan lima lagi di daerah ini.