ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, menyita sebanyak 30,000 biji telur ayam gred A bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah kilang pengeluar telur di negeri ini, membabitkan kesalahan pencatutan.
Ketua Seksyen Bekalan dan Harga Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Abd Hafidz A Rahim berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya mendapati kilang yang telah beroperasi lebih lima tahun itu disyaki menaikkan harga bagi mendapat keuntungan tinggi sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, ini merupakan kes sita yang pertama pada tahun ini menerusi operasi fasa kedua yang membabitkan 15 anggota penguatkuasa di bawah kesalahan Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, hasil pemeriksaan bermula 14 Disember tahun lalu hingga setakat ini KPDNHEP juga telah merekodkan lapan kesalahan dibawah seksyen yang sama termasuk tujuh di Melaka dan satu di Wilayah Persekutuan.
Selain itu katanya, sebanyak 95 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 bagi pihak syarikat mengemukakan maklumat setelah melakukan pemeriksaan ke atas 34 pengeluar mahupun peladang dan 61 pemborong di seluruh negara dalam tempoh tersebut.
"Kita telah mendapat aduan orang awam, berhubung kenaikan harga telur yang begitu meningkat sejak kebelakangan ini, dan kita kesan kenaikan ini dipercayai berlaku akhir Disember lalu sebelum Hari Natal.
"Dalam tempoh itu kita telah membuka kertas siasatan sebanyak lapan kes, dan pada hari ini kita syaki tempat ini juga telah menaikkan harga dan mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan akan membuka kertas siasatan selain tindakan sita," katanya.
Tambahnya, ini merupakan operasi pertama pihaknya mengambil tindakan sedemikian sebagai tanda amaran tegas kepada pihak terbabit agar tidak sewenangnya mengambil kesempatan menaikkan harga telur setelah kerajaan tidak menetapkan harga siling bagi harga telur memandangkan sekarang bukanlah musim perayaan.
"Kita lihat mereka mengambil kesempatan dan bukan sahaja tandakan sita malah siasatan lanjut terhadap kos dan juga harga jualan akan dilakukan
"Dalam masa yang sama harap pengguna dapat membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat pihaknya yang masih berdegil menaikkan harga telur sesuka hati," katanya.
Difahamkan kilang yang beroperasi di Durian Tunggal itu mengeluarkan telur kira-kira lebih 1 juta pengeluaran telur sehari sebelum diedarkan kepada rangkaian pemborong masing-masing termasuk domestik dan luar negara.