DUA pakar angkasa Malaysia akan berucap pada program berkaitan angkasa lepas pada minggu ketiga di Ekspo 2020 Dubai pada acara global yang diadakan buat pertama kali di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan.
Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dalam satu kenyataan berkata, saintis angkasa terkenal, Profesor Emerita Dr Mazlan Othman dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah akan mengambil bahagian secara maya dari Malaysia dalam dua acara berasingan.
Dr Mazlan akan berucap pada Majlis Dunia yang bertajuk 'Hope and Perseverance: Lessons Learnt from the Red Planet for Life on Earth' pada 21 Oktober 2021.
Acara ini disusun oleh Ekspo 2020 Dubai dan Amerika Syarikat.
Beliau akan menyertai panel pemimpin pemikir, cendekiawan berwawasan dan rakan-rakan saintis dalam perbualan tentang bagaimana penerokaan planet Marikh atau Planet Merah meningkatkan pemahaman manusia tentang kehidupan di bumi serta kemungkinan manusia hidup di planet lain.
"Penceramah dijangka merangkumkan pelbagai topik seperti bagaimana manusia boleh memahami tentang perubahan iklim daripada fenomena yang telah mengubah permukaan Marikh, sehingga kepada soalan moral yang mengelilingi penerokaan Marikh dari segi keutamaan saintifik, komersial dan etika,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Majlis Dunia tentang 'Hope and Perseverance: Lessons Learnt from the Red Planet for Life on Earth' boleh dihadiri secara maya melalui pautan: https://virtualexpodubai.com/.
Sementara itu, Azlikamil akan menyertai rakan sejawatan dari Australia, Emiriah Arab Bersatu, Eropah dan India pada forum ‘Space-Building Capacity and Research Opportunities’ pada 23 Oktober 2021.
Penglibatan itu dianjurkan oleh Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India di Pavilion India pada jam 2.45 petang hingga 5.30 petang waktu Malaysia.
Acara ini juga boleh dihadiri secara maya melalui pautan: https://ficcibike.com/indiapavilion/ dengan kata laluan: dubaiexpo@ficcibike.com.
Malaysia adalah antara 192 negara dan organisasi yang mengambil bahagian dalam Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022. - Bernama