Lima kereta terperangkap banjir kilat

Iklan
Antara kenderaan terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Jusco Bukit Raja pada Rabu

KLANG - Sebanyak lima kenderaan terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Jusco Bukit Raja, Bandar Baru Klang pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian dilaporkan pada jam 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, limpahan air sungai susulan hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur.

"Banjir tersebut melibatkan kedalaman air dianggarkan 1.2 meter dan terdapat lima kenderaan terkandas dalam insiden tersebut.

Iklan

"Pasukan bomba dari Balai Sungai Pinang mengarahkan pemandu kenderaan terlibat keluar dari kenderaan masing-masing dan berada di tempat selamat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Norazam berkata, hujan lebat melanda Lembah Klang juga menyebabkan insiden banjir kilat dengan paras air mencecah 0.3 meter di Taman Melawis, Klang.

Iklan

"Sebanyak 20 rumah terjejas namun kejadian tidak melibatkan pemindahan mangsa. Hasil pemantauan anggota di lokasi mendapati keadaan terkawal dan air semakin surut," katanya.