Ditolak jadi calon, Norhizam tunggu keputusan PH

Iklan
Norhizam Hassan

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, keputusan sama ada beliau dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) kelak.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam laman Facebook pemimpin parti itu pada Rabu yang menolak beliau sebagai calon PH pada PRN itu adalah pendapat parti itu (DAP) semata-mata.

Iklan
Iklan

"Itu hanya pendapat DAP, kita nantikan keputusan PH," katanya menerusi aplikasi WhatsApp ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Norhizam yang bertanding atas tiket DAP, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chua Lian Chye dan calon Pas, Ramli Dalip dengan majoriti 2,756 undi.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Iklan

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).- Bernama