Banjir di kaki Gunung Jerai berulang lagi

Iklan
Paras air di Pekan Yan selepas hujan lebat sekitar jam 4 petang pada Rabu.

YAN - Kebimbangan penduduk di kaki Gunung Jerai di sini berkaitan tragedi banjir lumpur yang mungkin akan berulang menjadi kenyataan apabila mereka kini terpaksa mengharungi detik cemas itu sekali lagi.

Seorang penduduk Kampung Raga, Marshirul Umar, 39, berkata, hujan lebat berlaku kira-kira jam 4 petang menyebabkan paras air sungai mulai meningkat dan melimpah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kira-kira jam 6 petang kawasan di sekitar pekan Yan mulai dipenuhi air hampir dua meter bergantung pada kedalaman kawasan.

"Ia turut melibatkan penduduk di beberapa kampung seperti Kampung Seri Perigi, Kampung Raga, Kampung Mat Acheh dan lain- lain lagi," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, beliau bersyukur kerana usaha kerajaan mendalamkan sungai selepas kejadian kepala air yang lalu telah dilaksanakan.

"Kalau sungai di sini belum dikorek saya rasa situasi banjir akan lebih buruk daripada sekarang ini kerana air turun agak laju dan cepat," katanya.

Iklan

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Mat Acheh, Jamilah Saad, 47, berkata, dia bersyukur kerana belum meletakkan segala perkakas elektrik di tempat asal setelah kejadian pada 18 Ogos lalu.

Antara rumah penduduk yang dinaiki air.

"Paras air pada kali ini agak tinggi berbanding sebelum ini, air pun laju masuk terus ke dalam rumah melalui pintu hadapan.

"Kalau yang kejadian lalu, air masuk dari pintu belakang secara sedikit demi sedikit jadi saya sempat menyelamatkan barang-barang kelengkapan rumah.

"Sekarang ini masih hujan masih, kami cuma berharap keadaan tidak semakin teruk kerana risau keselamatan kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, dianggarkan kira-kira 60 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir di Mukim Yan.

"Setakat ini, Pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan, walau bagaimanapun keadaan masih terkawal," katanya.

Katanya, bagi Mukim Singkir pula sebanyak 100 buah rumah terjejas yang melibatkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling dan Singkir Genting.

"Air banjir di Singkir Kedai Keling dilaporkan mulai surut dan hujan telah berhenti," katanya.

Dalam pada itu, menerusi Facebook Polis Daerah Yan, pihak polis menasihati agar orang ramai sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Penduduk yang terjejas juga boleh berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Yan di talian 044657489 jika memerlukan sebarang bantuan daripada pihak polis.