KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah pada Khamis bertitah Raja Pemerintah yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika tiga hak sebagai Raja Berpelembagaan dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah.
Baginda bertitah, hak-hak tersebut adalah hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberi galakan dan dorongan serta untuk memberi peringatan dan teguran.
"Beta memilih untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberikan galakan dan dorongan serta memberikan peringatan dan teguran melalui titah-titah yang dizahirkan," titah baginda pada majlis pelancaran buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada Khamis.
Sultan Nazrin bertitah amanah dan anugerah Ilahi yang disertai peranan dan tanggungjawab wajib dilaksanakan oleh Raja Pemerintah sesempurna mungkin agar rakyat merasakan institusi raja tetap relevan dan mempunyai peranan.
Titah baginda, sejarah memberikan pengajaran, takhta akan hilang dan tinggal dalam kenangan apabila Raja Pemerintah enggan menerima nasihat yang betul, disalah nasihat atau terasing dan gagal mendampingi rakyat untuk memahami denyut nadi dan jantung mereka.
Selain itu, Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak bertitah menjadi tanggungjawab Raja Pemerintah untuk memastikan terjalin hubungan harmoni serta semangat saling menghormati dan memahami antara institusi istana dengan institusi rakyat berlandaskan perlembagaan.
Baginda bertitah Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat Perlembagaan dan falsafah yang tersirat di sebalik perkara-perkara yang digubal difahami dan dilindungi.
"Setiap istilah dan perkataan yang termaktub dalam Perlembagaan memiliki maksud tersendiri, hendaklah ditafsirkan secara bijaksana, halus, teliti dan tepat agar keadilan tidak tercicir," titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah walaupun Raja berperanan untuk memerintah dan bukan mentadbir, tetapi tetap bertanggungjawab mengawasi dan memastikan pentadbiran yang adil lagi saksama, teratur, telus selain sebagai penimbang tara yang bijak kepada cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Titah baginda ia penting demi memastikan mekanisme semak dan imbang terlaksana sekali gus membantu memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada amalan demokrasi yang telus.
Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada DBP selain pelbagai pihak yang terlibat dalam penerbitan buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah termasuk Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Seri Dr Awang Sariyan serta editor penerbitan Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.
Semasa mengakhiri titah penghargaan itu, Sultan Nazrin kelihatan sebak dan terhenti seketika sebelum meneruskannya.
"Pada saat dikurniakan kemuliaan dan kejayaan daripada Ilahi, Beta sewajarnya merakamkan setinggi ingatan kepada ayahanda bonda, para guru serta para pemimpin yang telah mengasuh, mendidik, dan membimbing Beta.
"Sama-sama Beta pohon kita membaca surah Al-Fatihah, semoga ganjaran daripadanya disampaikan kepada roh ibu bapa, para guru dan para pemimpin yang begitu berjasa kepada kita,” titah Sultan Nazrin. - Bernama