ALOR SETAR - Kerajaan disaran mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang berkecuali bagi memastikan kelangsungan operasi kilang beras yang semakin tenat akibat monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Yang Dipertua Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata, terdapat hanya 15 kilang bumiputera yang masih wujud berbanding 203 kilang sebelum ini.
Menurutnya, namun pengilang beras Melayu yang masih beroperasi menanggung beban hutang dengan pihak bank malah terdapat pengilang berdepan kes mahkamah.
"Jualan beras kilang swasta kepada Bernas adalah sebanyak RM2,000/tan sedangkan kos ditanggung kilang adalah RM2,080/tan, kami tanggung kerugian dan terpaksa pula berhutang untuk terus beroperasi,” katanya, pada sidang media di Pejabat PPBMM, hari ini.
Mohamad Termizi berkata, jawatankuasa terbabit perlu menyiasat secara telus monopoli Bernas yang didakwa menindas pengilang swasta lain.
"Kini hanya terdapat lapan kilang beras Melayu di Kedah, empat di Perlis dan tiga di Perak. Kami jangkakan ada lagi beberapa kilang akan ditutup secara berperingkat hujung tahun ini kerana masalah sama,” katanya.
Menurutnya, pengilang beras seolah tiada tempat untuk mengadu dan berharap kerajaan PH membantu memulihkan nasib mereka.
Mohamad Termizi berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada September lalu untuk mengetengahkan masalah dialami, namun sehingga kini tiada maklum balas.
"Kami juga merayu agar kementerian tidak hanya dengar sebelah pihak, sebab itu kami mohon diwujudkan jawatankuasa khas berkecuali bagi tangani isu ini secara menang-menang,” katanya.
Pada 22 Januari lalu, Salahuddin berkata, kerajaan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan berkenaan monopoli Bernas memandangkan kontraknya tamat pada 2021.
Katanya, Kabinet telah bersetuju untuk memecah monopoli Bernas dan satu jawatankuasa khas diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terdiri daripada lapan kementerian akan merencanakan model baharu menggantikan Bernas.