KUALA LUMPUR - Jumlah layaran portal Sebenarnya.my menunjukkan peningkatan mendadak sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Januari 2020 dengan 198.31 juta layaran atau purata 9.4 juta hits setiap bulan, berbanding 63.7 juta layaran atau purata 2.65 juta hits setiap bulan sebelum pandemik, Dewan Negara diberitahu pada Khamis.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, peningkatan mendadak 260 peratus terhadap purata hits layaran setiap bulan sebelum dan selepas pandemik itu menunjukkan kesedaran masyarakat untuk menyemak berita yang diragui kesahihannya.
"Secara tidak langsung menunjukkan kejayaan usaha kerajaan dalam membudayakan amalan menyemak terutamanya dalam keadaan kecemasan kesihatan awam melibatkan pandemik Covid-19 pada ketika ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding yang ingin tahu kemajuan yang telah dicapai untuk mengekang penyebaran maklumat atau berita palsu menerusi sistem pesanan ringkas atau media sosial.
Zahidi menjelaskan, sejak Sebenarnya.my dilancarkan pada 14 Mac 2017 jumlah layaran keseluruhan portal itu telah mencecah lebih 275.85 juta hingga bulan lepas.
Mengenai langkah yang diambil dalam mengekang penyebaran berita palsu, beliau memberitahu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mewujudkan Pasukan Respons Pantas (PRP) yang dianggotai pegawai berkemahiran daripada KKMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.
Menurut Zahidi, sebanyak 486 penafian berita palsu atau berita tidak benar telah disiar dan diperjelaskan kepada masyarakat bermula 24 Mac 2020 hingga 20 September lepas.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 210 pemakluman atau bersamaan 43.84 peratus penafian berita palsu oleh PRP adalah berkaitan Covid-19 termasuk isu-isu vaksin Covid-19 telah diperjelaskan kepada masyarakat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip yang bertanyakan mengenai tindakan mahkamah terhadap penyebar berita palsu, beliau berkata, dari 18 Mac hingga 10 Oktober lepas, Polis Diraja Malaysia telah membuka 324 kertas siasatan bagi kes penyebaran berita palsu atau berita yang boleh mengakibatkan kegentaran awam.
Daripada jumlah itu, 50 kes telah dituduh di mahkamah, 131 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), tujuh kes diklasifikasikan sebagai ‘Kertas Untuk Simpanan’ (KUS) manakala 136 kes masih berada dalam siasatan.
"Setakat ini seramai 30 orang pegawai ditugaskan untuk memantau berita palsu dan (jumlah ini) akan ditambah melihat dari keperluan semasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Apandi Mohamad mengenai jumlah pegawai yang memantau berita palsu. -Bernama