Sindiket 'Macau Scam' rekrut pekerja lumpuh: Polis Johor

Iklan
Ayob menujukkan dua suspek yang masih dikesan pihak polis pada sidang media berkenaan.

JOHOR BAHRU - Polis Johor melumpuhkan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang merekrut pekerja dengan tawaran pendapatan lumayan dan peluang bekerja di luar negara, pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu hanya bertahan selama seminggu selepas tumpas susulan beberapa siri tangkapan dilakukan di sekitar bandar raya tersebut.

Iklan
Iklan

"Seramai lapan suspek lelaki tempatan berusia 21 hingga 43 tahun dipercayai memainkan peranan dalam sindiket ini ditahan bagi membantu siasatan. Modus operandi digunakan sindiket adalah melatih pekerja-pekerja baharu mengenai teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kutipan hasil dari sebuah bank tempatan dan pegawai-pegawai kerajaan.

"Sindiket ini didapati aktif merekrut dan melatih pekerja baharu untuk dijadikan operator ‘calling center’ yang berpusat di luar negara iaitu Kemboja dan Dubai, ” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Khamis.

Iklan

Ayob Khan berkata, ahli sindiket berkenaan juga dijanjikan gaji sehingga RM3,000 bersama komisen lain yang membabitkan tugas-tugas seperti penyelia, tenaga pengajar serta ejen merekrut.

Dua suspek dipercayai dalang dan ketua sindiket yang masih dikesan polis.

"Selain itu, individu yang berperanan sebagai penyelia dan tenaga pengajar pula akan menerima lagi upah sebanyak RM300 sehingga RM800 bagi setiap pekerja baharu berjaya dibawa masuk,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai tangkapan sindiket itu, Ayob berkata, tangkapan pertama dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Padu, Kampung Tahana 2 Larkin, di sini dengan seramai enam suspek ditahan.

"Kesemua suspek ini berperanan sebagai pengajar, ejen dan operator pusat panggilan. Tangkapan ini kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek masing-masing berusia 27 dan 33 tahun.

"Kedua-dua suspek ini dipercayai menjalankan tugas sebagai pengurus akaun dan penulis skrip untuk penipuan dirancang sindiket,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis merampas pelbagai barangan membabitkan telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak, mesin perakam suara dan buku catatan.

Ayob (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas berikutan tangkapan dalam sindiket berkenaan.

Dalam pada itu, Ayob berkata, pihaknya sedang memburu dua lagi suspek dipercayai dalang dan ketua sindiket berkenaan.

"Kami sekarang sedang mengesan dua suspek dikenali sebagai Su Hao Shou berusia 33 tahun dan Mohammad Khairuddin Shah, 25 tahun. Mereka dipercayai menjadi ketua operasi sindiket ini.

"Pihak kami masih mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai masih berada dalam negara. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.