Kerajaan akan tambah baik eKasih tangani ketidaktepatan data kemiskinan

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyempurnakan Majlis Pelancaran Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh di Universiti Malaya di ibu negara, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menambah baik sistem pangkalan data eKasih bagi mengenal pasti dapatan data lebih mikro dan tepat untuk menangani isu kemiskinan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, data yang tepat di peringkat akar umbi amat penting agar bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini, kerajaan berdepan beberapa isu ketidaktepatan data antara eKasih dan data daripada Jabatan Perangkaan.

"Mengikut data eKasih sekarang ni ada 510,000 isi rumah miskin. Miskin dan miskin tegar sama banyak.

Iklan

"(Tapi) data Jabatan Perangkaan miskin tegar 0.4 peratus, dan miskin 5.6 peratus. Ini antara cabaran yang kita hadapi. Apa pun kita kena murnikan lagi angka ini kerana angka itu penting.

"Ada beberapa perkara, kita dapat input daripada beberapa ahli Parlimen yang menyatakan perlu kita tambah baik dan insya-ALLAH kita akan tambah baik eKasih," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kajian Kemiskinan Multidimensi (MPI) Permatang Pauh di Universiti Malaya di sini, pada Khamis.

Iklan

MPI Permatang Pauh merupakan kajian yang dilakukan pada April hingga Mei 2021 meliputi 332 isi rumah dalam kalangan B40.

Ia tersebut diketuai oleh Profesor Fatimah Kari, mantan Profesor Ekonomi di Universiti Malaya.

Kajian tersebut telah mengenal pasti kepelbagaian dimensi deprivasi yang dihadapi segmen termiskin dan bermatlamat bagi menggariskan kaedah pengukuran kemiskinan alternatif yang benar-benar holistik demi menggambarkan realiti kemiskinan sebenar di lapangan.

Mengulas pendekatan MPI Permatang Pauh, Mustapa berkata, kajian seumpama itu amat dialu-alukan bagi mengenal pasti data kemiskinan yang lebih mikro.

Katanya, usaha mendapatkan data lebih mikro juga digerakkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) apabila jawatankuasa khas peringkat daerah diwujudkan khusus untuk fokus isu kemiskinan.

"Dalam RMK12 kita telah buat cadangan supaya ada seorang pegawai di peringkat daerah bertanggungjawab khusus mengenai kemiskinan supaya lebih fokus.

"Kerana itu di peringkat daerah, kampung, ada jawatankuasa. Jadi peranan yang lebih besar perlu dimainkan oleh ketua kampung dalam mengumpulkan data kemiskinan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau berharap kiraan MPI Permatang Pauh dapat diambil kira dalam perkongsian data untuk semua penyelidik.

"Kiraan yang sangat menyeluruh dan realistik sangat penting untuk merancang dan melaksana strategi lebih berkesan menangani kemiskinan," katanya.