MELAKA - Isteri kepada anggota bomba yang meninggal dunia dalam insiden banjir di Sungai Putat pada Rabu reda dengan pemergian suaminya yang sebelum itu sempat menyelamatkan mangsa banjir.
Suri rumah, Noraida Che Nor, 39, balu kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, tidak menyangka pagi Rabu adalah kali terakhir dia berjumpa suaminya sebelum menerima berita sedih yang menimpa suaminya ketika sedang bertugas.
Menurutnya, pagi sebelum kejadian, suaminya sempat mengambil cuti separuh hari untuk membawa anak kedua mereka mengambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Namun pada jam 6 petang, saya dapat panggilan daripada kenalan di Hospital Melaka maklumkan yang suami telah lemas dan dalam keadaan kritikal," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Kampung Krubong, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain.
Tambahnya, perubahan sikap arwah yang sejak akhir-akhir ini sering tersenyum disedari oleh salah seorang anak perempuannya.
"Namun saya tidak nampak sebarang perubahan atau kelakuan arwah yang pelik dan dia pergi balik kerja seperti biasa.
"Tapi anak perempuan saya cakap, baru-baru ini arwah lebih banyak tersenyum,” katanya.
Allahyarham Mohd Diya meninggalkan empat anak iaitu Muhamad Daniel Hakime, 18; Nurul Ain Balqis,16; Muhamad Danish Hakim,12, dan Nurul Anisah Ilya, 9.
Sementara itu, Abdul Wahab berkata, Allahyarham menyertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Melaka sejak tahun 2006 selain berpengalaman dalam operasi menyelamat di air, namun dalam melaksanakan tugas, apa jua boleh berlaku tanpa diduga lebih-lebih lagi kawasan banjir itu seolah-olah terdapat kepala air.
Menurutnya, pemergian Allahyarham bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga arwah malah kepada warga bomba kerana kehilangan seorang 'wira merah JPBM' yang sanggup menyelamatkan mangsa dalam sebarang situasi sehingga mengorbankan nyawa.
"Arwah telah menyertai JPBM pada tahun 2001 sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada awal pagi tadi dan pengorbanan arwah ini suatu yang mulia dan menjadi kebanggaan jabatan bomba," katanya.
Allahyarham Mohd Diya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 3.11 pagi Khamis selepas dilaporkan rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika menjalankan operasi menyelamat di Sungai Putat petang Rabu.