BENTONG- Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan dan menyekat aktiviti meneroka tanah dalam kawasan Hutan Simpan Lentang Tambahan, di sini pada Selasa.
Kerja-kerja pembersihan kawasan seluas 1.5 hektar yang dikesan itu dipercayai untuk aktiviti penanaman durian musang king.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, dalam serbuan yang dilakukan, pihaknya menemui dan merampas sebuah jengkaut dalam kawasan kompartmen 93 namun tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana pemandunya berjaya melarikan diri,
Menurutnya, jentera tersebut dipercayai digunakan untuk membersihkan kawasan hutan simpan terbabit termasuk tanah milik kerajaan bersebelahan.
"Kita bertindak menyita jentera tersebut dan dibawa ke pusat simpanan barangan rampasan di Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Nor Azirim berkata, hasil pemantauan menggunakan dron mendapati tanah milik kerajaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Lentang Tambahan turut diceroboh pihak terbabit dipercayai bagi tujuan sama.
"JPNP tidak menolak kemungkinan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Lentang Tambahan termasuk tanah milik kerajaan itu didalangi beberapa individu.
"Mereka dipercayai mengupah pihak kedua untuk melakukan kerja membersihkan dan membina teres tanaman," katanya.
Beliau berkata, kejayaan mengesan kegiatan berkenaan lebih awal dapat mengelak kemusnahan hutan simpan itu serta pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan melibatkan kawasan yang lebih luas.
Katanya, JPNP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan di negeri ini.
"Perbuatan itu satu kesalahan serius yang akan menyebabkan berlaku kemusnahan hutan secara tidak terkawal," katanya.
Sementara itu, Nor Azirim berkata, sepanjang Oktober ini, Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Timur dan Barat berjaya menyelesaikan lima kes kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti perlombongan, memindahkan hasil hutan dan pertanian.
Tambah beliau, aktiviti rondaan dan serbuan akan dipergiatkan lagi terutama di beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini yang sering menjadi tumpuan penceroboh.