Pendakwah terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, berpoligami sebenarnya tidak semuanya negatif. Ada indah dan kemanisan. Apakah kemanisannya?
"Dalam konteks suami berkemampuan dan berlaku adil kepada isteri-isterinya, ia secara tidak langsung dapat meringankan beban sama ada tugas rumah tangga atau lain-lain.
"Kenapa saya kata begitu? Sebab adanya giliran dengan isteri-isteri. Jadi bila suami ke rumah isteri pertama, isteri kedua boleh berehat begitu juga sebaliknya," katanya.
Beliau turut mengingatkan para suami agar tidak sekali-kali menceraikan isteri pertama jika mahu menambah cawangan.
Dalam pada itu, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Suzana Ghazali pula berkata, bagi mengekalkan perkahwinan bermadu, wanita diingatkan tidak sesekali bersikap monopoli.
"Walaupun wanita itu isteri baharu atau muda tidak bermaksud dia berhak untuk dapat lebih keistimewaan dari segi kasih sayang dan segalanya hingga memaksa suami gagal menunaikan tanggungjawab kepada isteri sedia ada," katanya.
Suzana menambah, lelaki juga perlu memastikan isteri-isteri diberi layanan yang adil, bertepatan dan munasabah mengikut hukum syarak.
"Kemampuan untuk berlaku adil perlu diyakini oleh suami sebelum berkahwin lagi sama ada dengan isteri kedua, ketiga atau keempat," katanya.