Ketua Bahagian Bersatu Arau keluar parti

Iklan
Ameir

ALOR SETAR – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Arau, Ameir Hassan meletakkan semua jawatan yang disandang dalam parti itu termasuk jawatan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Perlis.

Amier turut mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuatkuasa 15 Oktober lalu dengan menyifatkan parti itu sudah tersasar daripada perjuangan asalnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surat peletakan jawatan diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada awal pagi Khamis.

"Saya kini bukan lagi ahli Bersatu. Bersatu sudah mati apabila berlakunya ‘Langkah Sheraton’. Perjuangan asal Bersatu sudah hilang kerana kerakusan kuasa dan jawatan ketika di bawah pimpinan Muhyiddin,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Ameir berkata, perjuangan asal Bersatu yang diasaskan pada 2016 sudah hilang identiti dan tersasar daripada matlamat sebenar menyebabkan dirinya tidak lagi boleh bersama parti itu.

"Saya membuat keputusan ini kerana Bersatu saya asaskan di Perlis sejak September 2016, yang saya bina dengan segala kudrat dan pengorbanan sudah tersasar jauh daripada perjuangan asal.

Iklan

"Parti itu sudah menjadi alat kepada mereka yang rakus kuasa tanpa menghiraukan pengorbanan rakyat yang membawa Bersatu ke ambang kejayaan,” katanya lagi.

Ameir berkata, perkara itu turut dinyatakan kepada Muhyiddin menerusi kandungan surat rasmi menggunakan logo Bersatu Bahagian Arau bertarikh 15 Oktober.

"Saya antara terawal menyertai Bersatu, dengan nombor keahlian 089 meletak jawatan serta-merta bermula pada tarikh yang tertera pada surat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perjuangan untuk masa hadapan rakyat sudah tidak wujud lagi dalam parti itu.

"Maruah dan integriti sudah menjadi laungan kosong. Ia umpama ‘fraud’ ke atas rakyat yang telah beri kepercayaan dan menaruh harapan begitu tinggi kepada Bersatu sebelum ini,” katanya.

Menurut Ameir, beliau belum memutuskan samada mahu menyertai parti politik lain atau bersara.

"Seorang ‘warrior’ tidak pernah kenal kekecewaan dalam politik,” katanya penuh makna.