Bantuan perubatan HIV bantu tingkatkan rawatan umat Islam

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123rf

SHAH ALAM - Yayasan AIDS Malaysia (MAF) mengumumkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui program Skim Bantuan Perubatan HIV.

Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, bantuan tersebut menawarkan subsidi ubat-ubatan antiretroviral (ARV) sebagai salah satu daripada inisiatif rawatan, jagaan dan sokongan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1998.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bebanan kewangan pesakit amat kritikal memandangkan kos untuk rawatan ARV peringkat kedua masih perlu ditanggung sendiri oleh pesakit manakala subsidi kerajaan hanya merangkumi ubat-ubatan ARV peringkat pertama.

"Secara purata, seorang pesakit perlu membelanjakan hingga RM700 sebulan bagi membeli ubat-ubatan ini. MAF turut membelanjakan lebih daripada RM1 juta bagi membiayai kos rawatan ARV untuk pesakit-pesakit yang kurang bernasib baik dengan menggunakan dana sumbangan orang ramai dan penaja-penaja korporat.

Iklan

"Bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan ini, MAIWP telah menyumbangkan sebanyak RM120,000 dan MAIPk menyumbangkan sebanyak RM90,000 melalui dana zakat kepada MAF untuk membiayai kos perubatan HIV kepada Orang Yang Hidup dengan HIV (ODHA) dalam kalangan asnaf yang berkelayakan di Kuala Lumpur dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Adeeba berkata, sumbangan itu merupakan satu kesinambungan daripada inisiatif HIV dan Islam yang pernah MAF laksanakan bersama agensi-agensi agama Islam di peringkat negeri dan persekutuan.

Iklan

"MAF amat menghargai sumbangan dan sokongan yang telah diberikan oleh MAIWP dan MAIPk.

"Kami berharap sumbangan dan sokongan dari MAIWP dan MAIPk menjadi pencetus kepada penglibatan yang lebih luas dari majlis-majlis agama Islam di negeri lain untuk turut sama membantu,” ujarnya.

Jelas Adeeba, kos rawatan yang tinggi memberi impak kepada komuniti B40 di Malaysia untuk mendapatkan perubatan HIV.

"Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, situasi ini menjadi lebih kritikal di mana ramai ODHA kehilangan mata pencarian dan golongan ini lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

"Dengan adanya sumbangan daripada MAIWP dan MAIPk ini secara tidak langsung ia akan membantu Malaysia untuk merapatkan jurang antara yang berkemampuan dan tidak berkemampuan dalam akses untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sektor HIV/STI/Hep C, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anita Suleiman berkata, sokongan serta komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua majlis agama itu amat bertepatan dan selari dengan usaha negara untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030.

Menurutnya, komitmen itu akan menyumbang kepada usaha merapatkan jurang rawatan khususnya kepada mereka yang kurang mampu tanpa mengira usia, jantina atau kedudukan sosial tetapi memerlukan rawatan barisan kedua yang lebih mahal.

"Saya berharap kerjasama seperti ini akan berterusan dan lebih banyak lagi majlis agama Islam di negeri lain dapat memberi peluang yang sama kepada mereka yang kurang berkemampuan tetapi memerlukan rawatan.

"Adalah diharapkan dengan bantuan ini, mereka yang hidup dengan HIV dapat meneruskan kelangsungan hidup dan seterusnya mencegah penularan jangkitan kepada pasangan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, sumbangan berkenaan merupakan usaha perintis pihaknya untuk membantu umat Islam di negeri Perak yang terkesan dengan HIV.

Tambahnya, ia juga adalah lanjutan daripada program bantuan khas Covid-19 oleh pihak MAIPk yang telah dimulakan sejak tahun 2020.

"Ini adalah usaha kami untuk menyantuni umat Islam yang berdepan dengan dugaan dan cabaran, termasuklah stigma dan diskriminasi yang menjejaskan kualiti kehidupan mereka,” jelasnya.