KECOH di media sosial apabila tular klip video bual bicara beberapa pelakon dan selebriti lelaki mengenai aksi lakonan rogol yang diceritakan secara melawak.
Sewaktu Merak Jalanan menonton klip video tersebut, tiba-tiba rasa geram apabila mereka membicarakan topik itu sambil ketawa dengan menyebut perkataan tidak enak didengari orang lain.
Seolah-olah aksi rogol adalah satu bahan jenaka yang sangat melucukan.
Mereka mungkin terlupa istilah rogol itu sendiri sudah jelas menunjukkan satu perbuatan jenayah. Tidak ada jenayah yang kelakar kerana hukuman berat menanti si perogol dan mangsa berdepan trauma seumur hidup.
Kalau kita sebut perkataan berbaur lucah kepada orang lain, itu pun sudah diklasifikasikan sebagai gangguan seksual, walaupun dengan nada bergurau.
Semua orang ada wanita tersayang sama ada ibu, isteri, kakak, adik, anak atau kawan. Jagalah maruah dan hormati sensitiviti serta emosi mereka.
Oleh itu, jika mahu berdiskusi mengenai isu rogol, penyampaiannya perlu secara tertib dan berilmu. Ia bukan perkara remeh.
Terbaharu, pendedahan penerjun negara, Datuk Pandalela Rinong mengenai jurulatih yang suka membuat lawak lucah. Tujuh tahun berlalu tetapi emosi beliau terganggu sehingga hari ini.
Merak Jalanan senada dengan netizen yang mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang menjadikan rogol sebagai bahan jenaka.
Berulang kali perkara sebegini berlaku. Banyak lagi topik yang boleh dijadikan bahan melawak.
Kalau sudah terlalu ketandusan idea, berbual sahaja tentang politik. Bukan apa, ragam ahli politik pun tidak kurang kelakarnya.
Merak Jalanan teringat zaman kecil dahulu, jika tersalah cakap atau sebut perkataan yang tidak baik, sepantas kilat tangan emak sampai ke mulut. Sakit juga ketika nak makan nasi sebab bibir luka, tapi itulah pengajaran berharga.