PENGENDALI Perak FC, Shahril Nizam Khalil percaya ketiga-tiga tonggak import The Bos Gaurus yang masih dikekalkan dapat membantu pemain muda pasukan tersebut mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Malah katanya, dia berpuas hati prestasi dipamerkan import Lubnan, Jad Ahmad Noureddine, Charles William Hew Machell (England) dan Sergio Ezequiel Aguero (Argentina) dalam dua aksi persahabatan menyaksikan Perak FC menewaskan Kelantan FC 2-0 dan terikat 2-2 ketika berdepan Kedah Darul Aman FC sebelum ini.
"Bagi saya, pemain-pemain import yang masih ada ini telah memberikan aksi terbaik bagi membantu kemenangan pasukan.
"Jadi saya berharap aura positif ketiga-tiga mereka ini akan menyuntik semangat dalam kalangan pemain muda untuk terus berjuang dalam misi pemburuan slot suku akhir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Perak FC sebelum ini menamatkan kontrak empat pemain importnya melibatkan Samir Ayass dari Lubnan, Mountala Zoubairou, Garba Daniel (Indonesia-Cameroon), Ghislain Guessan (Ivory Coast) dan Nana Poku (Ghana).
Perak kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan B saingan Piala Malaysia dengan meraih satu mata hasil satu keputusan seri dan tewas.
Sementara itu, Shahril Nizam mengakui membuat beberapa pertukaran pemain termasuk pertukaran formasi serta posisi pemain pada kedua-dua aksi persahabatan berkenaan.
Katanya, biarpun hasil pertukaran itu memuaskan, tetapi mengakui masih terdapat beberapa kekurangan terutamanya jentera serangan pasukan.
"Setakat ini kita telah mengharungi dua aksi persahabatan dan saya telah mencuba beberapa pertukaran, formasi, posisi pemain kerana kita tahu kita kekurangan dari serangan kita.
"Bagaimanapun, alhamdulillah dalam dua perlawanan persahabatan itu, kita berjaya menjaringkan gol dan diharap ianya berterusan,” katanya.