KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah, menjadi 'hot spot' banjir serta berhampiran sungai agar sentiasa peka dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun sehingga awal November ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah bagi kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa singkat.
"Hujan lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh singkat dan akan melimpahi tebing, seterusnya menjejaskan kawasan penempatan rendah terutamanya.
"Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang, lalu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan banjir," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nor Hisham berkata, JPS mengambil inisiatif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.
Selain itu, pihaknya juga sentiasa melaksanakan penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur JPS secara berkala.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan dan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my dan menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir. - Bernama