Thailand bakal sambut pengembara lengkap divaksin, termasuk Malaysia

Iklan
Pada 2019, Thailand menarik hampir 40 juta pengunjung berbanding 6.7 juta tahun lepas.

BANGKOK - Thailand bakal menyambut ketibaan pelawat yang lengkap vaksin Covid-19, dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia yang akan dikecualikan menjalani kuarantin mulai 1 November.

Pelawat dari negara dan wilayah yang dikecualikan kuarantin wajib termasuk Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, sebelum ini hanya 10 negara dimasukkan ke dalam senarai negara dan wilayah berisiko rendah, tetapi kini sudah bertambah kepada 46 negara.

"Kita perlu bertindak lebih pantas. Jika kita menunggu sehingga semuanya sempurna, kita mungkin sudah terlambat. Pelancong boleh memutuskan untuk berkunjung ke negara lain,” kata Prayuth menerusi laman Facebook rasminya pada Khamis malam.

Iklan

Awal bulan ini, Prayuth berkata, pelan membuka semula pintu negara untuk negara-negara berisiko rendah adalah"langkah pertama yang penting” untuk menjana kembali punca pendapatan.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) akan memuktamadkan senarai negara dan wilayah. Senarai itu akan dikemas kini pada 1 Disember dan 1 Januari.

Iklan

Di bawah pengaturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap vaksinasi yang tiba menerusi perkhidmatan udara dan diuji negatif Covid-19 bebas mengunjungi provinsi lain di negara ini.

Menurut Kementerian Luar, pengembara mesti lengkap divaksin, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum melakukan perjalanan. Mereka mesti tinggal di negara dan wilayah yang layak sekurang-kurangnya 21 hari berturut-turut.

Sejurus tiba di Thailand, mereka perlu mengambil ujian RT-PCR dan perlu menunggu keputusan di hotel terpilih dalam tempoh sehari semalam atau sehingga keputusan negatif diperoleh.

Bagaimanapun, pelancong yang tidak divaksin dan tiba dari negara yang tidak termasuk dalam senarai perlu menjalani kuarantin 10 hari di hotel Kuarantin Alternatif (AQ) dengan keputusan ujian RT-PCR negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan. Mereka perlu menjalani dua ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelapan atau kesembilan.

Mulai 1 November, semua pelancong yang memasuki Thailand wajib membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50,000 dan mempunyai keputusan ujian RT-PCR COVID-19 negatif dalam masa 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Sementara itu, Thailand akan membuka semula Bangkok dan destinasi pelancongan utama lain termasuk Hua Hin, Pattaya, Krabi, Koh Chang dan beberapa daerah di Chiang Mai di bawah program ‘sandbox’, mulai 1 November, menurut Royal Gazette yang dikeluarkan lewat Khamis.

Perintah berkurung waktu malam di kawasan ini akan ditarik balik bermula bulan depan, namun minuman beralkohol masih dilarang.

Pada 2019, Thailand menarik hampir 40 juta pengunjung berbanding 6.7 juta tahun lepas.

Setakat ini, Thailand mencatat lebih 1.8 juta kes Covid-19 dan lebih 18,500 kematian. - Bernama