Sukpar kembali secara maya, dijangka tarik 10,000 peserta

Iklan
Shahidan (tiga dari kiri) melancarkan Sukan Parlimen Wilayah Persekutuan (Sukpar) di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Bernama

SETELAH dihentikan penganjurannya akibat Covid-19 tahun lepas, edisi kedua Sukan Parlimen (SUKPAR) yang kembali diadakan tahun ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan secara maya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Sukpar 2021 dijangka mampu menarik 10,000 peserta untuk menyertai acara yang yang bermula hari ini sehingga 5 Disember ini.

Iklan
Iklan

Katanya, sebanyak empat jenis sukan dipertandingkan iaitu e-sukan (FIFA22 dan Mobile Legends: Bang Bang), ‘virtual run’ (individu 15 kilometer), ‘virtual combat’ (silat, taekwondo, karate) dan ‘archery challenge’ (recurve, compound, barebow).

"Sukpar 2021 diteruskan bagi merancakkan kembali aktiviti sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan komuniti Wilayah Persekutuan namun masih mengikuti SOP ditetapkan kerajaan khususnya selepas lama berperang dengan pandemik Covid-19.

Iklan

"Penganjuran Sukpar pada tahun ini bagaimanapun agak berbeza apabila pemilihan sukan dibuat lebih berhati-hati bagi memastikan penganjuran pertandingan dibuat mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan, sama seperti sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 yang diadakan pada 9 Oktober lepas,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Sukpar 2021 di sini pada Jumaat.

Shahidan juga memaklumkan, pihaknya turut menyasarkan sejumlah 500,000 tontonan keseluruhan Sukpar 2021 khususnya semasa penganjuran e-sukan pada edisi kali ini.

Iklan

Sukpar yang mempertandingkan sukan di antara Parlimen di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mula dianjurkan pada 2019 dengan tujuan untuk meningkatkan amalan bersukan dan menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti Wilayah Persekutuan. - Bernama