KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berharap episod skandal Tabung Haji (TH) yang sebelum ini diselindungkan tidak akan berulang.
Rafizi yang banyak membuat siri pendedahan skandal TH berkata, ketika itu ramai yang menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran isu tersebut hanya kerana beliau dari parti lawan.
"Saya dimaklumkan laporan polis telah dibuat terhadap bekas pengurusan kanan TH, termasuk seorang pengurusan kanan yang menjadi saksi utama dalam kes saya di mahkamah. Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.
"Apabila saya mengambil risiko membongkar masalah pengurusan di TH, sepatutnya fakta yang saya bentangkan itu diambil kira. Jangan kerana pembongkaran itu datang dari seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ‘Ini semua fitnah’,” katanya di Facebooknya semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! lebih RM22j dana Tabung Haji untuk politik]
Kelmarin, TH membuat laporan polis terhadap bekas pengurusan tertinggi dan beberapa kakitangan kanannya berhubung penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.
Menurut Rafizi, beliau akan terus meneliti setiap satu kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada walaupun kerajaan telah bertukar.
"Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang (Umno dan Pas), saya akan tetap meneliti dan bersuara. Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini bersuara mengenai TH walau diserang hebat, insya-ALLAH saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang.
"Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti-parti (baik PH, Umno atau Pas) lebih terbuka meneliti setiap fakta,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kes Tabung Haji: Mahkamah arah Rafizi bela diri]