GEORGETOWN - Kira-kira 5,200 isi rumah di Balik Pulau akan mengalami tekanan air rendah dari jam 8 pagi hingga 6 petang pada Isnin iaitu 25 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya terpaksa menghentikan tugas di Loji Rawatan Air Sungai Pinang selama 10 jam untuk menjalankan kerja penyambungan saluran paip air mentah 300 milimeter (mm) keluli lembut (MS) baharu di saluran muka sauk air mentah Titi Kerawang, Balik Pulau.
Jaseni berkata, pihaknya memasang saluran paip baharu di muka sauk air mentah Titi Kerawang yang membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang pada Jumaat.
"Paip 300 mm MS baharu ini akan menggantikan dua saluran paip yang rosak di muka sauk air mentah Titi Kerawang pada Rabu (20 Ogos). Ia melibatkan saluran paip 150mm dan 225mm di muka sauk yang rosak kerana ditimpa batu-batu yang jatuh ketika ribut kuat.
"PBAPP perlu memasang saluran paip kecemasan sementara untuk menyalurkan bekalan air mentah ke LRA Sungai Pinang. Semua kerja pemasangan dan pembaikan paip air mentah di muka sauk telah selesai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jaseni menambah, pengeluaran air terawat akan pulih di LRA Sungai Pinang selepas PBAPP memulakan operasi saluran paip 300mm yang baharu.
"Bagaimanapun, kerja di LRA perlu diberhentikan untuk membolehkan kerja penyambungan akhir saluran paip. Oleh demikian, kami akan menghenti tugas LRA Sungai Pinang selama 10 jam.
"Tekanan air rendah itu akan berlaku bermula jam 8 pagi hingga 6 petang pada Isnin ini. Ketika penutupan itu, PBAPP akan membekalkan air terawat ke Balik Pulau dari dua kemudahan lain iaitu LRA Batu Ferringhi melalui Rumah Pam Teluk Bahang dan Kolam air Genting melalui Rumah Pam Teluk Kumbar," katanya.
Menurutnya, pengguna air domestik dan perniagaan di beberapa kawasan disaran menyimpan air mencukupi bagi mengelakkan masalah berkaitan bekalan air.
"Kawasan tersebut adalah Jalan Pantai Acheh, Jalan Sungai Pinang, Jalan Kuala Sungai Pinang, Jalan Sungai Rusa, Jalan Sungai Air Putih (Bandar Baru Air Putih), Jalan Permatang Pasir 7 Jalan Baru/Bharu dan Jalan Kuala Jalan Baru 9 Bukit Penara.
"Pengguna air yang memerlukan khidmat nasihat atau bantuan boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam kami di talian 042558255. PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," katanya.