NGO tubuh Pusat Kemanusiaan Malaysia di Kabul

Iklan
Global Peace Mission dan Muslim Volunteer Malaysia tubuh Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) di Kabul, Afghanistan dalam usaha membantu rakyat di negara itu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Global Peace Mission (GPM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menubuhkan Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) di Kabul, Afghanistan dalam usaha untuk membantu rakyat di negara yang dilanda peperangan itu.

MHC yang memulakan operasinya 20 Oktober lepas, berfungsi sebagai pusat maklumat dan akan menyelaraskan bantuan kemanusiaan oleh GPM dan MVM atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan di 34 wilayah di Afghanistan, kata Ketua Pegawai Operasi GPM di Kabul, Syahrir Azfar Saleh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, MHC terdiri lima komponen iaitu menyediakan program vokasional dan bahasa untuk wanita, pusat perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak, klinik bergerak, asrama sukarelawan Malaysia, dan sebuah pejabat pentadbiran bagi merancang dan mengembangkan strategi serta menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan.

"Lima komponen penting MHC memerlukan usaha kolektif daripada organisasi lain yang dapat menawarkan kepakaran mereka dalam bidang berkaitan.

Iklan

"Kami berharap MHC akan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Afghanistan yang menghadapi kesulitan akibat konflik peperangan yang berpanjangan, masalah ekonomi, dan ketidakstabilan kerajaan baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menganggarkan 1,000 penduduk Afghanistan akan memperoleh manfaat dari pusat ini setiap bulan, terutama wanita, anak yatim, keluarga yang memerlukan, dan mangsa peperangan.

Iklan

Syahrir yang sedang melakukan misi kemanusiaan di Kabul sejak akhir September berkata, GPM dan MVM juga mempelawa NGO yang berminat tampil bersama-sama MHC membantu rakyat Afghanistan.

"MHC bukan hanya milik GPM dan MVM.

"Penyelarasan dan maklumat mengenai keperluan di 34 provinsi di Afghanistan sangat penting untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya. - Bernama