Giliran Johor, Terengganu beralih ke Fasa 4

Iklan
Ismail Sabri

PUTRAJAYA -[DIKEMASKINI] Johor dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Iklan
Iklan

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Labuan, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya merupakan negeri serta wilayah yang berada di Fasa 4 PPN.

Iklan

Sementara itu, Perlis, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Sabah masih kekal berada pada Fasa 3 PPN.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 turut bersetuju agar kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini diperluaskan kepada remaja yang telah lengkap vaksinasi.

Iklan

"Ini bermakna, syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun akan dinyatakan dalam semua SOP namun kemudahan itu tidak akan dilaksanakan serta-merta.

"Kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja ‘grace period’ selama tiga minggu atau sehingga pertengahan bulan November," ujarnya.

Beliau berkata, tempoh itu adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini selesai lengkap divaksin.

"Setakat Khamis, kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja telah mencapai 80.2 peratus atau bersamaan 2,524,156 individu.

"Kadar ini merupakan antara yang terpantas di dunia," jelasnya.

Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun bermula secara rasmi pada 20 September 2021.