DHAKA - Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh manakala tujuh yang lain cedera dalam pertempuran antara dua puak bertelagah membabitkan pelarian Rohingya di sebuah kem di Cox's Bazar, Bangladesh pada Jumaat, lapor Xinhua.
Pegawai kanan Batalion Polis (APBn), Shihab Kaiser Khan berkata kepada wartawan, tujuh mayat pelarian Rohingya dan beberapa mangsa yang cedera ditemukan pada Jumaat pagi.
Beliau berkata, susulan kejadian itu seorang pelarian Rohingya turut ditahan.
Pihak berkuasa juga melakukan serbuan di kem pelarian itu untuk menahan dalang kejadian, katanya.
Namun, beliau tidak dapat mengesahkan punca pertempuran itu.
Kejadian itu berlaku beberapa minggu selepas seorang pemimpin Rohingya dibunuh di sebuah kem pelarian.
Pada 29 September lalu, pemimpin Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights (ARSPH), Mohib Ullah maut ditembak lelaki bersenjata tidak dikenali di kem pelarian Kutupalong, Cox's Bazar. - Bernama