KUCHING - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan ada berbincang berkenaan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, sewaktu kunjungan hormatnya ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butir-butir perbincangan terbabit, sewaktu diminta mengulas berkenaan kunjungan itu yang dilakukan di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini pagi Jumaat.
"Orang politik kalau jumpa memang ada (berbincang tentang politik). Saya pun tak nak bohong hari Jumaat ini. Memang ada (berbincang tentang PRN Sarawak) tapi tak ada perkara yang boleh saya kongsikan dengan media. Itu masalahnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Tanoti House, sebuah pusat kraf di sini.
Menurutnya, apa yang penting sekarang adalah tempoh Sarawak untuk mengadakan pilihan raya negeri sudah tiba, dan percaya kerajaan negeri sudahpun mengambil kira semua aspek sebelum ia diadakan.
Ditanya jika Abang Johari ada memberikan sebarang petunjuk bila PRN itu akan diadakan, Annuar berkata;"Ketua Menteri tak payah bagi ‘hint’ (petunjuk) kepada saya, kalau dia nak bagi ‘hint’, bagilah kat (kepada) rakyat Sarawak,” katanya.
Desas-desus berhubung PRN Sarawak ke-12 semakin rancak dibincangkan di negeri ini, ekoran spekulasi beberapa media yang memetik sumber yang tidak dinamakan mengatakan ia akan diadakan dalam masa yang terdekat.
Sebuah akhbar tempatan pada Rabu melaporkan kemungkinan Abang Johari mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis, namun perkara itu tidak berlaku.
Sebaliknya Abang Johari dalam satu sidang media di Sri Aman pada Khamis menafikan mengetahui tentang perkara berkenaan dengan mengatakan jangkaan bila pilihan raya negeri akan diadakan adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Bernama