MUAR - [DIKEMASKINI] Perikatan Nasional (PN) sudah mengenal pasti calon bagi semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut pada 20 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk calon Ketua Menteri sekiranya PN menang PRN Melaka.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, semua calon tersebut melibatkan Bersatu, Pas dan Gerakan.
"Perkara ini ditetapkan ekoran sudah menjangkakan keputusan UMNO yang enggan bekerjasama dengan PN sejak awal lagi.
"Saya sudah agak responsnya begitu cuma sebagai satu tindakan berhemah kita nak dengar mereka kata sah dan sekarang mereka kata, ‘no way’ dan itu fakta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pimpinan Tempatan Peringkat DUN Gambir di Tangkak pada Jumaat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka pada 20 November ini seperti ketetapan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.
Muhyiddin berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja bentuk pertandingan sama ada dua, tiga atau empat penjuru serta situasi tersebut tidak menjadi masalah bagi PN.
Beliau meminta agar perundingan dalam PN dimuktamadkan segera dalam soal pembahagian kerusi.
Besar kemungkinan PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka yang dibahagikan antara Bersatu, Pas dan Gerakan.
Mengenai kewajaran menangguhkan PRN Melaka berikutan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, Muhyiddin berkata, PRN itu perlu diteruskan.
"Faktanya mereka tidak dapat tangguh lagi, ketika Yang di-Pertua Negeri memutuskan untuk bubar DUN, telah dinyatakan dalam Perlembagaan bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah umum tarikhnya, jadi kita harus menghadapinya. SPR perlu umum prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat kawal penyebaran penyakit yang saya rasa mereka tahu apa yang harus dilakukan dan yang boleh atau tidak," katanya.