SHAH ALAM - Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah mempersoalkan tindakan Pas meneruskan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini.
Beliau berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bahawa perhimpunan itu tidak perlu diadakan kerana kerajaan telah pun menyatakan ICERD tidak akan diluluskan dan jika diteruskan, ia boleh mengundang suasana serta perkara tidak diingini berlaku.
Katanya, rancangan untuk meneruskan perhimpunan itu juga bertentangan dengan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya 'tidak menyalakan puntung kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini'.
"Dalam masa sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan membantah ICERD akan diteruskan juga. Pandangan ini bertentangan dengan nasihat mufti dilantik Sultan Kelantan iaitu negerinya sendiri.
"Ini juga bertentangan dengan semangat dan roh titah Sultan Nazrin yang menggesa supaya situasi yang boleh menimbulkan pergeseran agama dan bangsa mesti dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin dukacita...]
Raja Kamarul Bahrin mendakwa, Pas dan Umno menolak ICERD kononnya untuk memelihara kedaulatan Raja-raja dan memelihara kedudukan agama Islam, namun tindakan mereka menolak titah Sultan Nazrin dan saranan Mufti Kelantan menunjukkan sebaliknya.
"Bukankah parti Mohd Amar, Pas, sendiri ingin menjunjung kepimpinan ulama dan Islam di mana pandangan Mufti Kelantan sebagai ulama tertinggi negeri yang di lantik oleh Sultan sepatutnya mesti dihormati dan dipatuhi?
"Bukankah Datuk Mohd Amar juga menyatakan ICERD ditentang kerana kononnya hendak meghormati Sultan dan Raja-raja Melayu? Kenapakah titah dan saranan bijaksana Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak diendahkan?," soalnya.
Justeru, beliau menggesa supaya Pas menjawab persoalan sama ada himpunan itu benar-benar untuk mendaulatkan dan menjaga raja serta agama.
"Kalau jawapannya ya, kenapa pandangan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Mufti Kelantan tanpa hormat ditolak begitu sahaja? Apakah agenda disebalik perancangan pakatan halus ini yang boleh mengugat keamanan negara tidak sampai tujuh bulan PH memerintah? Apa motifnya yang sebenar.
"Adakah kata-kata mereka untuk menghormati Raja-Raja dan ulama ini hanya kenyataan permainan politik semata-mata untuk mencari pengaruh? Rakyat ingin jawapan kepada ini semua," katanya.