KUALA LUMPUR - Pusat Pengajian ASEAN yang pertama dilancarkan di Institut Perhubungan Antarabangsa Universiti Taras Shevchenko Kyiv di Ukraine.
Pusat ini dibuka secara rasmi pada 19 Oktober oleh Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba yang turut disaksikan Duta Indonesia Prof Dr Yuddy Chrisnandi, Duta Vietnam Nguyen Hong Thach, dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia Fadhilah Daud.
Iklan
Iklan
Kedutaan Ukraine di Malaysia, dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Jumaat menyatakan Rektor Universiti Prof Volodymyr A. Bugrov dan Pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Prof Valerii Kopiika turut hadir pada majlis perasmian itu, mewakili pihak Universiti Taras Shevchenko, Kyiv.
Kuleba dalam ucapannya pada majlis perasmian itu berkata, perkembangan seterusnya adalah mengenai akses Ukraine kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara.
"Ukraine telah mengemukan permohonan dan sedang dipertimbangkan anggota ASEAN. Ini bukan hanya akan menjadi dorongan ke arah perkembangan seterusnya tetapi juga isyarat jelas mengenai kualiti hubungan baharu antara Ukraine dan ASEAN," katanya.
Penubuhan pusat kajian itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Luar Ukraine, Institut Hubungan Antarabangsa Universiti Taras Shevchenko dan kedutaan Negara Anggota ASEAN di Ukraine (Indonesia, Malaysia dan Vietnam). - Bernama