Isi petrol cara tradisional di Dabong jadi tarikan

Iklan
Norhayati menunjukkan isian minyak petrol secara tradisional dengan mengepam bahan api itu menggunakan tangan mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan masyarakat khususnya dari luar Dabong.

KUALA KRAI - Isian minyak petrol secara tradisional dengan mengepam bahan api itu menggunakan tangan menjadi tarikan baharu dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk luar Dabong.

Kaedah itu turut menunjukkan kepada masyarakat bahawa cara tersebut masih digunakan walaupun pada zaman moden.

Iklan
Iklan

Ia diakui sendiri oleh pemilik sebuah kedai runcit, Norhayati Musa, 46, yang menawarkan perkhidmatan isian petrol secara tradisional kepada penduduk di kawasan yang mula dikenali melalui perkhidmatan 'Train To Dabong'.

"Cara isian bahan api ini berbeza dengan kaedah di stesen minyak kerana perlu dipam menggunakan tangan mengikut isipadu yang telah ditetapkan sebelum disalurkan ke tangki kereta atau motosikal," katanya yang sudah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Iklan

Menurutnya, cara isian minyak itu mula tular di aplikasi Tiktok sehingga penduduk luar kawasan Dabong mula datang ke kedainya untuk melihat secara dekat proses itu berlaku.

Tambah Norhayati, bahan api yang dijual kepada pelanggan itu mengikut harga semasa sebagaimana dilaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Iklan
Bahan api yang dijual kepada pelanggan itu mengikut harga semasa sebagaimana dilaraskan oleh KPDNHEP.

Norhayati berkata, setiap liter bahan api yang dijual itu akan direkod dan setiap hari KPDNHEP akan menghantar bekalan bagi menampung permintaan pengguna.

Katanya, stesen minyak terdekat dengan kawasan itu ialah di Jeli iaitu 60 kilometer (km) diikuti oleh Gua Musang sejauh 65 km, dan Kuala Krai pula 120km.

Seorang pengguna dari Kota Bharu, Ilane Kamarul, 25, berkata, dia cukup teruja dapat mencuba sendiri perkhidmatan tersebut yang tular menerusi Tiktok.

"Sebagai generasi baru, saya menganggap kemudahan ini cukup unik dan belum pernah melihat secara dekat.

"Saya datang ke Dabong atas urusan kerja. Selepas urusan selesai saya mengambil keputusan untuk mencuba perkhidmatan ini kerana tidak puas menontonnya di aplikasi Tiktok," katanya.

Norhayati atau Kak Tie berkata, setiap liter bahan api yang dijual itu akan direkod seperti ditetapkan oleh KPDNHEP.

Menurutnya, kemudahan pam tradisional ini memudahkan tugas orang ramai sekiranya berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bahan api itu kerana jarak ke stesen minyak utama agak jauh.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, terdapat 13 lokasi yang menjual bahan api itu di bawah seliaan pihaknya.

"Pemantauan dilakukan setiap masa bagi memastikan penyelewengan bahan api itu tidak berlaku termasuk gas petroleum cecair (LPG)," katanya.