MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan bertoleransi dengan isu gangguan seksual melibatkan mana-mana pegawai sukan atau jurulatih terhadap atlet masing-masing.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan gangguan seksual.
"Sepatutnya tidak kira sama ada pemimpin, pentadbir, pegawai atau jurulatih, mereka tidak harus meremehkan perkara ini (gangguan seksual) terutamanya dalam memperkatakan sesuatu yang tidak baik seperti kata-kata lucah.
"Kita tidak akan bertoleransi langsung terhadap perkara-perkara sedemikian rupa. Saya juga berharap pihak persatuan sukan lebih peka terhadap perkara-perkara sedemikian.
"Sebagaimana di peringkat tertinggi seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), kita memang ada jawatankuasa yang terlibat bagi melihat perkara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pada Khamis, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menerusi akaun Twitternya memuat naik isu gurauan mengenai rogol sebagai tidak kelakar dan mereka yang teraniaya perlu tampil bersuara.
Malah, pada ciapan di laman twitternya itu, Pandelela turut mendakwa bahawa bekas jurulatihnya suka membuat lawak lucah sebelum individu terbabit berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lalu.
Ciapan Pandelela itu kemudiannya menjadi tular apabila diulang kicau lebih 10,000 kali dan mendapat 11,000 tanda suka sehinggakan ia turut melibatkan ciapan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Kesihatan yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, isu gangguan seksual perlu dilihat dengan lebih mendalam dan terperinci dalam usaha memastikan ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.
"Kami juga sedia mendengar aduan daripada atlet yang menjadi mangsa dalam perkara berkenaan. Dalam MOM sendiri kita ada sekretariat Wanita Dalam Sukan (Women In Sports) yang dipengerusikan oleh Naib Presiden MOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar
"Kalau boleh memang kita akan adakan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara ini. Kami tidak mahu isu gangguan seksual ini memberi kesan buruk kepada kepada industri sukan negara pada masa akan datang,” ujarnya.