KUALA LUMPUR - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi atau 'superbike' dikenakan notis saman kerana tidak mempunyai lesen dan menggunakan cukai jalan tamat tempoh sejak tiga tahun lalu pada Jumaat.
Difahamkan kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dalam perjalanan untuk menjamu selera ketika ditahan dalam Ops Sepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jalan Duta menghala Kuala Lumpur di sini sekitar jam 10.30 malam.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, operasi tersebut memberi penekanan kepada penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan kebenaran rentas negeri bermula 8 Oktober lepas.
"Selaras dengan kebenaran kerajaan untuk merentas negeri, JPJ berada di Plaza Tol Jalan Duta ini untuk memantau kenderaan yang bergerak pulang ke kampung untuk menguatkuasakan SOP PPN dan memeriksa status vaksinasi mereka.
"JPJ Kuala Lumpur pada malam ini turut memberi fokus kepada pematuhan undang-undang terhadap pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan komersil, persendirian dan motosikal," katanya pada sidang akhbar Ops Sepadu di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pihak JPJ mengesan sebanyak 315 kesalahan dalam operasi yang bermula pada jam 8 malam sehingga jam 12 tengah malam itu.
"Antara kesalahan yang dikesan adalah berkaitan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) cukai jalan dan Insurans 158, lesen memandu (66), kesalahan teknikal (9), cermin gelap (66), cermin sisi (5), lampu HID (7), kesalahan berkaitan nombor pendaftaran (73).
"Secara keseluruhannya sebanyak 318 notis telah dikeluarkan oleh pihak JPJ dalam operasi berkenaan," jelasnya.
Tambahnya, turut hadir dalam operasi tersebut adalah anggota dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Puspakom dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).