United perlukan masa kembali cemerlang

Iklan
RONALDO

BINTANG Manchester United, Cristiano Ronaldo menegaskan The Red Devils memerlukan masa untuk kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni.

Menurutnya, United kini dalam proses untuk beradaptasi selepas membeli beberapa pemain termasuk dirinya, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

Iklan
Iklan

"Pendapat saya, United sudah melakukan beberapa perubahan dengan membeli saya, Varane dan Sancho.

"Proses adaptasi itu akan memakan sedikit masa termasuk sistem dan cara kami bermain. Tetapi, setapak demi setapak kami perlu letakkan dalam minda bahawa segalanya berkemungkinan.

Iklan

"Saya tidak bercakap hanya kerana saya sebaliknya melihat secara kolektif. Semua orang perlu mengetahui peranan mereka. Saya tahu peranan saya dalam pasukan iaitu untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan dengan pengalaman yang saya ada.

"Jika semua orang berfikiran begitu, berkorban untuk pasukan dan kami akan jadi sebuah pasukan yang bagus. Kami mempunyai penyokong yang bagus di belakang kami, stadium yang hebat dan pasukan yang berkualiti," katanya.

Iklan

Sebelum ini, penyokong United teruja dengan kehadiran Ronaldo, Varane dan Sancho yang menyaksikan The Red Devils bakal tampil dengan persembahan berbeza berbanding musim lalu.

Namun, hasrat penyokong untuk melihat aksi cemerlang dipamerkan United tidak kesampaian apabila skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu menampilkan aksi tidak konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Dalam pada itu, penyerang berusia 36 tahun itu juga mengakui tidak mempunyai perancangan untuk bersara daripada pentas antarabangsa dan akan terus beraksi bersama pasukan kebangsaan Portugal.

"Saya rasa belum masa untuk saya bersara lagi. Ia bukan mengenai apa yang orang mahukan tetapi apa yang saya mahukan.

"Ia apabila saya merasakan tidak lagi mampu berlari, mengelecek dan menendang, tetapi saya masih ada semua itu dan ia membuatkan saya rasa termotivasi.

"Saya mahu teruskan kerana saya sukakan bola sepak dan mahu membuatkan semua orang gembira," katanya.