Semenanjung Damai bakal jadi tarikan utama pelancong ke Sarawak

Iklan
Pengubahsuaian itu akan melibatkan penyelenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf bilik dan kemudahan semasa serta membina kawasan perkhemahan mewah dan Rock Chalet Village baharu di resort berkenaan.-Foto Bernama

KUCHING - Kisah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang begitu sinonim dengan Sarawak merangkumi segala ramuan yang tepat untuk menjayakan sesebuah sinetron, drama, mahupun lipur lara waktu perdana.

Kisah persaingan sengit dan sikap cemburu antara dua puteri ‘kayangan’ kerana merebut cinta seorang putera raja menjadi tema utama cerita yang berakhir dengan Santubong disumpah menjadi Gunung Santubong.

Iklan
Iklan

Cerita rakyat popular yang diperturunkan dari generasi ke generasi Sarawak ini begitu sinonim dengan Semenanjung Damai (Santubong), yang terletak sekitar 35 Kilometer (KM) dari ibu negeri Sarawak, Kuching.

Di Semenanjung Damai ini, terletaknya Gunung Santubong setinggi 810 meter yang dikurniakan dengan keindahan pantai yang indah dan hutan hujan tropika, menjadikannya antara destinasi pelancongan terkenal di Sarawak.

Iklan

Potensi semula jadi yang ada ini telah mendorong kerajaan negeri untuk terus melabur dalam membangunkan kawasan Semenanjung ini melalui pelan bagi membina sebuah resort peranginan mega, dikenali sebagai projek Damai Resort City yang bakal mengubah wajah kawasan pantai yang popular itu.

Projek itu akan merangkumi resort baharu, denai hutan dan kemudahan ‘trekking’, kawasan kesihatan dan kecantikan, marina dan hartanah komersial di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Iklan

Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain menjelaskan bahawa ini adalah rancangan jangka panjang dan pada masa ini agensi milik kerajaan itu sedang menyiapkan kajian komprehensif untuk pembangunan Semenanjung berkenaan yang akan turut meliputi semua aspek termasuk kesan alam sekitar.

"Kita sudah mempunyai perunding termasuk pakar dari dalam dan luar negara. Kajian ini dijangka mengambil masa setahun dan kita akan sediakan laporan itu pada awal 2022. Jika semuanya berjalan lancar, kita boleh melaksanakannya (projek) selepas itu,” katanya kepada Bernama.

Selain merancang untuk membina kemudahan baharu, SEDC yang bertanggungjawab untuk menerajui pembangunan produk pelancongan di Sarawak turut merancang untuk meningkatkan kemudahan sedia ada di Damai, seperti Damai Lagoon Resort.

Pengubahsuaian itu akan melibatkan penyelenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf bilik dan kemudahan semasa serta membina kawasan perkhemahan mewah dan Rock Chalet Village baharu di resort berkenaan.

"Ini adalah visi kami dan selain itu kami juga sedang mengenal pasti kereta api atau Transit Aliran Ringan (LRT) untuk jajaran dari Kuching ke Damai. Lebih mudah jika pelawat yang tiba di lapangan terbang (di Kuching) boleh menaiki kereta api untuk terus ke Damai,” kata Abdul Aziz.

Kekayaan budaya yang terdapat di Sarawak juga merupakan antara tarikan pelancongan utama di sini dan kerajaan negeri juga merancang untuk menambah baik Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Damai. Perkampungan budaya seluas 6.8 hektar itu mempamerkan budaya dan gaya hidup rakyat Sarawak yang terdiri pelbagai kumpulan etnik di negeri ini termasuk bangunan replika Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melanau, Melayu dan Cina.

Menurut Abdul Aziz, SEDC juga sedang merancang untuk mewujudkan taman herba di sebuah kampung dengan pokok rempah ratus dan sayur-sayuran tempatan akan ditanam dan kemudianya dijadikan sajian dalam penyediaan makanan untuk dihidangkan dan dirasai pelancong.

Usaha mempromosi budaya tempatan juga turut menerima sambutan hebat yang dibuktikan melalui sokongan kerajaan Persekutuan apabila mengumumkan peruntukan RM20 juta di dalam Bajet 2021 untuk menambah baik infrastruktur dan meningkatkan promosi produk kampung budaya, khususnya yang terletak di Terengganu, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Kisah Puteri Santubong ini juga akan dihidupkan tidak lama lagi dalam bentuk lakonan istimewa yang akan dipersembahkan dalam teater kampung budaya itu dengan menampilkan pelakon dan pelakon tempatan.

"Pertunjukan ini akan dipersembahkan secara bersiri dan kami juga merancang untuk mempersembahkan ia secara langsung. (Buat masa ini) semuanya sudah siap termasuk skrip dan pelakon, tetapi disebakan proklamasi darurat dan situasi Covid-19, pertunjukan ini ditangguhkan,” kata Abdul Aziz. - Bernama