Industri hidrogen: Samsung berminat melabur di Sarawak

Iklan
Amar Awang Tengah

KERAJAAN negeri Sarawak yang kini sedang melaksanakan strategi pembangunan pasca pandemik Covid-19 semakin mengorak langkah ke hadapan apabila syarikat multinasional terkemuka Korea Selatan, Samsung, menjadi antara syarikat yang berminat untuk melabur dalam industri hidrogen di Bumi Kenyalang.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengadakan perbincangan secara maya dengan pelabur Korea Selatan merangkumi beberapa syarikat besar seperti Samsung, Posco dan Lotte Chemical, selain pelabur dari Australia.

Iklan
Iklan

"Mereka berminat untuk melabur dalam bidang ini (industri hidrogen) dan pelaburannya agak besar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas di sini, baru-baru ini.

Sarawak telah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hidrogen secara serius selepas mengkaji daya majunya untuk dihasilkan secara skala besar dan permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap hidrogen sebagai sumber tenaga seperti yang diuar-uarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Iklan

Dalam kajian hidrogen, EU menyatakan bagi tempoh 2030 hingga 2050, pasaran hidrogen akan bernilai kira-kira AS$11 trilion (AS$1=RM4.16).

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, pembangunan dalam sektor minyak dan gas akan dipertingkatkan lagi untuk meliputi aktiviti penerokaan dan pengeluaran bahan mentah dan aktiviti penapisan minyak, jualan dan pengedaran.

Iklan

"Sehubungan itu, kerajaan negeri juga telah melantik juru perunding untuk membuat pelan induk bagi merangka pelan pembangunan industri minyak dan gas terutamanya aktiviti hiliran bernilai tinggi yang melibatkan kawasan perindustrian di Samalaju, Bintulu, Kidurong, Tanjung Manis, Lawas dan Kuching,” katanya.

Beliau berkata, sektor industri perkayuan Sarawak juga akan terus dibangunkan biarpun negeri itu sudah menempa nama sebagai pengeluar terbesar untuk produk papan lapis bagi pasaran Jepun, Korea Selatan dan China.

"Kerajaan negeri akan meningkatkan lagi pembangunan industri berasaskan kayu terutama sekali untuk menghasilkan ‘high value added product’ seperti dalam bidang perabot,” katanya.

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan dalam industri perkapalan di Mukah dengan merancang untuk membangun dan menjadikan Tanjung Manis Marine Engineering Park di Paloh bagi industri pembinaan kapal, pembaikan kapal dan kejuruteraan marin.

”Daripada 100 jumlah limbungan kapal yang ada di Malaysia, Sarawak mempunyai 60 limbungan kapal di Sarawak terutama di Sibu dan Miri. Ia mempunyai potensi besar dan ketika ini mereka telah berjaya membina kapal-kapal untuk dieksport ke Australia, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Indonesia dan Vietnam malah sehingga ke Eropah. Ini adalah industri yang mempunyai potensi untuk berkembang,” katanya.

Bagi sektor pertanian, Awang Tengah berkata, beberapa syarikat dari dalam dan luar negara menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor itu khususnya menggunakan platform digital Internet Pelbagai Perkara (IOT) sekali gus seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih.

"Beberapa sektor lain juga ada beberapa syarikat yang menunjukkan minat terutama apabila kerajaan negeri hendak beri penekanan khususnya dalam usaha untuk melonjakkan Sarawak kepada satu era pembangunan menuju negeri maju menjelang 2030,” katanya. - Bernama