KUANTAN - Seramai 737 individu atau 1.38 peratus daripada 53,213 individu yang kehilangan pekerjaan di negara ini dicatatkan di Pahang.
Angka itu berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs untuk tempoh Januari hingga 15 Oktober tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan statistik itu, kes kehilangan pekerjaan tertinggi di negeri ini direkodkan pada Mac lalu dengan 111 kes.
Menurutnya, tiga sektor mencatatkan kes kehilangan kerja tertinggi iaitu sektor pembuatan dengan 191 kes, diikuti sektor borong dan peruncitan 175 kes serta sektor penginapan, makanan dan minuman sebanyak 81 kes.
"Bagi mengatasi masalah itu, sebanyak 134 aktiviti temuduga telah dilaksanakan sehingga 23 Oktober lalu di negeri ini.
"Sekurang-kurangnya 51,000 kekosongan jawatan ditawarkan bagi membantu 27,000 pencari kerja yang berdaftar melalui Portal MYFutureJobs Negeri Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Penjana Kerjaya Negeri Pahang anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama kerajaan negeri di Wisma Perkeso Negeri Pahang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riva Marin dan Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran Karnival Penjana Kerjaya yang diadakan di negeri ini.
Menurutnya, melalui karnival selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini, lebih 3,800 peluang kerja ditawarkan dari pelbagai sektor.
"Seramai 20 majikan mengambil bahagian dan dijangkakan 1,000 pencari kerja di negeri ini akan tampil merebut peluang.
"Bagi memastikan program penjana kerjaya yang julung kalinya diadakan secara dalam talian itu dapat diakses pencari kerja di luar bandar, kerajaan negeri telah memberi peruntukan tambahan RM30,000 kepada Perkeso bagi tujuan tersebut," katanya.
Beliau berkata, peruntukan itu bagi mengatur koordinasi kepada peserta yang hadir menerusi 13 Pusat Internet Komuniti (PIK) terpilih di Pahang.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan pencari kerja di negeri ini akan merebut peluang itu agar mendaftar untuk menyertai program tersebut melalui pautan https://bit.ly/KarnivalKerjayaMelaluiPIK2021," katanya.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyantuni wakil pemandu teksi dan van sekolah terpilih di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) Perkeso dengan menyalurkan 200 Bakul Prihatin daripada Perkeso dan badan bukan kerajaan.
Turut diadakan upacara pelepasan peserta konvoi Infaq Rezeki.