NIBONG TEBAL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) akan memperkemaskan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengenakan hukuman berat terhadap individu terlibat pencemaran alam sekitar.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, langkah itu bagi memastikan kawalan dan pematuhan kepada standard ditetapkan di bawah akta itu lebih berkesan sekali gus dapat menangani isu pecemaran yang bukan sahaja menjejaskan kualiti alam malah kehidupan rakyat di negara ini.
Menurut Mansor, selain menaikkan kompaun dengan kadar lebih tinggi, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk melakukan penutupan dan menarik lesen terhadap syarikat yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar.
"Kami sedang merangka draf undang-undang baharu dan dijangka dibawa ke Parlimen pada tahun depan.
"Bagaimanapun pendidikan serta kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar perlu dipertingkatkan agar semua pihak dapat bersama menjaga dan memelihara alam sekitar," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), Siti Zaleha Ibrahim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr Rozali Mohamud.
Mengulas mengenai lawatan itu, Mansor berkata, JAS mengarahkan operator tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Burung untuk mengawal aliran sisa larut resapan tidak terawat yang sebelum ini didakwa menjejaskan kualiti penduduk setempat.
Beliau berkata, semua sisa larut resapan perlu dialirkan dan dirawat terlebih dahulu di dalam sistem pengolahan sisa larut resapan sehingga mematuhi standard ditetapkan JAS.
"Sebelum ini terdapat tiga isu berbangkit di Pulau Burung yang dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan penduduk berhampiran selain sekolah di sini namun dua isu berkenaan berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri
"Namun kesan terhadap isu ekonomi seperti masalah penternakan ikan dan pertanian di sini yang terjejas sedang ditangani oleh syarikat pengurusan tapak pelupusan ini," katanya.
Mansor berkata, peningkatan jumlah sisa pepejal yang mendadak terutama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara cabaran dihadapi di Pulau Burung ketika ini.
Tambahnya, sisa bahan industri dan bahan kimia juga meningkat serta memerlukan teknologi baharu untuk pelupusan supaya tidak menjejaskan kawasan sekeliling di sini.